Asas keselamatan keluarga

Bagi ibu bapa yang sibuk, berikut ada beberapa cadangan pantas tentang cara yang membantu memastikan keluarga anda selamat dalam talian.

  1. Bincang dengan keluarga anda mengenai keselamatan dalam talian. Jelaskan mengenai peraturan dan harapan keluarga anda tentang teknologi dan akibat penggunaan yang tidak wajar. Paling penting sekali, pastikan mereka berasa cukup selesa untuk meminta bimbingan apabila mereka sukar membuat keputusan. Langkah ini dapat membantu keluarga anda berasa selamat meneroka Internet secara bersendirian dan mengetahui orang yang perlu dirujuk—iaitu anda—apabila mereka ingin mengajukan pertanyaan.
  2. Gunakan teknologi bersama-sama. Ini satu cara yang baik untuk mengajar tentang keselamatan dalam talian dan cara ini mewujudkan peluang kepada anda mengutarakan topik keselamatan dalam talian kepada keluarga anda apabila topik ini timbul.
  3. Bincangkan tentang perkhidmatan dan tapak dalam talian. Bincangkan dengan keluarga anda mengenai jenis tapak yang mereka suka lawati dan bahan yang sesuai untuk setiap ahli keluarga.
  4. Lindungi kata laluan. Bantu keluarga anda mengetahui cara menetapkan kata laluan yang selamat dalam talian. Ingatkan keluarga anda untuk tidak memberikan kata laluan mereka, kecuali mungkin kepada orang dewasa yang dipercayai, seperti ibu bapa. Pastikan mereka membiasakan diri untuk log keluar dari akaun dalam talian mereka apabila mereka menggunakan komputer awam di sekolah, di kafe atau di perpustakaan.
  5. Gunakan tetapan privasi dan kawalan perkongsian. Terdapat banyak tapak untuk berkongsi pendapat, foto, video, kemas kini status dan sebagainya. Kebanyakan perkhidmatan ini menawarkan tetapan dan kawalan privasi yang membantu anda memutuskan orang yang boleh melihat kandungan anda sebelum anda menyiarkannya. Bincang dengan keluarga anda mengenai perkara yang mereka patut dan tidak patut kongsi dengan orang ramai. Bantu mereka menghormati privasi orang lain dengan merahsiakan maklumat peribadi tentang keluarga atau rakan dan dengan tidak mengenal pasti orang melalui nama dalam kandungan dikongsi dengan orang ramai.
  6. Semak sekatan umur: Banyak perkhidmatan dalam talian - termasuk Google - mengenakan had umur yang mengehadkan orang yang boleh menggunakan perkhidmatan mereka. Contohnya, anda perlu memenuhi syarat umur untuk memiliki akaun Google dan sesetengah produk Google dihadkan kepada pengguna 18 tahun dan ke atas. Sentiasa semak syarat penggunaan tapak web sebelum membenarkan anak anda mendaftar untuk akaun dan jelaskan kepada anak-anak anda jika anda mempunyai peraturan keluarga mengenai tapak dan perkhidmatan yang mereka boleh gunakan.
  7. Didik keluarga anda berkomunikasi dengan penuh tanggungjawab. Berikut ialah peraturan am yang baik untuk diikut: jika anda tidak akan mengatakannya secara bersemuka kepada seseorang, jangan hantar melalui teks, e-mel, mesej segera atau menyiarkannya sebagai ulasan di halaman seseorang. Bincangkan mengenai bagaimana perkara yang anda katakan dalam talian mungkin akan menjejaskan perasaan orang lain dan wujudkan garis panduan keluarga mengenai jenis komunikasi yang wajar.
  8. Bincang dengan orang dewasa yang lain. Mulakan perbualan dengan rakan, ahli keluarga yang lain, guru, jurulatih dan kaunselor anda. Ibu bapa dan golongan profesional lain yang terlibat dalam pengurusan kanak-kanak sesuai dijadikan sumber rujukan untuk membantu anda memutuskan perkara yang sesuai untuk keluarga anda, terutamanya jika anda mengendalikan hal berkaitan bidang teknologi yang anda tidak ketahui.
  9. Lindungi komputer dan identiti anda. Gunakan perisian antivirus dan kemaskininya dengan kerap, melainkan anda mempunyai Chromebook, yang tidak memerlukan perisian antivirus. Bincang dengan keluarga anda mengenai jenis maklumat peribadi – seperti nombor keselamatan sosial, nombor telefon atau alamat rumah – yang tidak sepatutnya disiarkan dalam talian. Didik keluarga anda agar tidak menerima fail atau membuka lampiran e-mel daripada orang yang tidak dikenali.
  10. Pastikan amalan ini berterusan. Kegiatan mengekalkan keselamatan bukan perkara yang berlaku sekali sahaja—teknologi sentiasa berkembang dan begitu juga keperluan keluarga anda. Pastikan anda mengekalkan dialog yang berterusan. Tentukan semula peraturan asas keluarga anda, semak kemajuan semua orang dan luangkan masa untuk berbincang pada selang masa yang tetap.

Alat keselamatan

Ketahui 5 ciri keselamatan dalam talian teratas Google yang direka untuk membantu anda memastikan keluarga anda selamat dalam talian.

Google Play

Gunakan kawalan Ibu bapa untuk menapis apl mengikut rating kandungan

Anda boleh menggunakan kawalan Ibu bapa untuk menyekat kandungan yang boleh dimuat turun atau dibeli di Google Play. Ciri ini membantu anda mencari kandungan yang sesuai untuk anda dan keluarga.

Ketahui lebih lanjut

Buka apl Gedung Play pada peranti anda.

Di penjuru atas sebelah kiri, sentuh ikon Menu.

Ketik Tetapan.

Ketik Kawalan ibu bapa.

Hidupkan Kawalan ibu bapa.

Buat PIN.

Sentuh Apl & Permainan.

Pilih tahap kematangan.

YouTube

Tetapkan penapis untuk memastikan kandungan yang tidak sesuai tidak dimasukkan

Jika anda memilih untuk tidak melihat kandungan dewasa atau yang dikenakan sekatan umur apabila anda menyemak imbas di YouTube, tatal ke bahagian bawah mana-mana halaman YouTube dan dayakan Mod Keselamatan. Mod Keselamatan membantu menapis kandungan yang mungkin tidak menyenangkan dari carian, video berkaitan, senarai main, rancangan dan filem.

Ketahui lebih lanjut

Tatal ke bahagian bawah mana-mana halaman YouTube dan klik menu lungsur dalam bahagian "Keselamatan".

Pilih Hidupkan atau Matikan untuk mendayakan atau melumpuhkan Mod Keselamatan.

Untuk mengunci tetapan ini, log masuk ke Akaun Google anda.

Apabila anda log masuk, anda diberi pilihan untuk mengunci tetapan ini.

Chrome

Kawal kandungan yang dilihat oleh keluarga anda di Web

Jika anda ingin mengawal tapak yang boleh dilawat oleh keluarga anda di Internet, anda boleh menggunakan Pengguna di Bawah Seliaan di Google Chrome. Dengan Pengguna di Bawah Seliaan, anda boleh melihat halaman yang telah dilawati oleh pengguna anda dan menyekat tapak web yang anda tidak ingin pengguna anda lihat.

Ketahui lebih lanjut

Untuk menyediakan pengguna di bawah seliaan pada Chromebook anda, mulakan pada skrin log masuk utama dan klik Tambah pengguna.

Di sebelah kanan skrin, pilih Buat pengguna di bawah seliaan.

Klik Buat pengguna di bawah seliaan.

Log masuk ke akaun yang akan mengurus pengguna di bawah seliaan dan klik Seterusnya.

Pilih nama pengguna, kata laluan dan gambar untuk pengguna di bawah seliaan. Klik Seterusnya.

Android

Hadkan akses kepada apl dan permainan yang diluluskan sahaja.

Ingin berkongsi tablet anda tanpa mengongsi semua bahan anda? Pada tablet Android yang menjalankan versi 4.3 dan yang lebih tinggi, anda boleh membuat profil terhad yang mengehadkan akses yang pengguna lain miliki kepada ciri dan kandungan pada tablet anda.

Ketahui lebih lanjut

Jika anda pemilik tablet, sentuh Tetapan → Pengguna → Tambah pengguna atau profil.

Sentuh Profil terhad → Profil baharu, kemudian nama profil.

Gunakan suis HIDUPKAN/MATIKAN dan tetapan untuk mengurus akses kepada ciri, tetapan serta apl.

Tekan butang Kuasa untuk kembali ke skrin kunci, kemudian sentuh ikon profil baharu.

Setelah semua disediakan, skrin Laman Utama menjadi kosong. Sentuh ikon Semua Apl untuk bermula dengan profil baharu.

Lihat lagi alat keselamatan