Keselamatan beli-belah dalam talian

Semakin ramai orang membeli-belah dalam talian. Google membantu pengguna mencari produk dengan beberapa cara yang berlainan. Walaupun kami tidak mengawal kandungan di Web, kami ingin membantu pengguna membeli-belah dengan selamat dalam talian. Sebahagian besar transaksi dalam talian disempurnakan tanpa sebarang masalah, tetapi dalam beberapa kes ada risiko yang terlibat. Itulah sebabnya kami telah membuat halaman ini yang mengandungi petua dan alatan berguna yang boleh anda gunakan semasa membeli-belah dalam talian.

Petua Keselamatan

  • Jika tawaran itu terlalu bagus hingga sukar dipercayai…: biasanya memang tidak boleh dipercayai. Bandingkan harga yang anda lihat dengan barangan yang serupa yang dijual di tempat lain. Jika harganya jauh berbeza, sila berhati-hati - pastikan anda menyelidik penjual dan bertanya tentang keadaan item tersebut. Apabila tapak menawarkan produk dengan potongan harga yang tinggi, mengandungi kesalahan tatabahasa dan ejaan serta menggunakan imej berkualiti rendah daripada tapak web rasmi pemilik jenama, tapak itu mungkin menjual produk palsu. Sila berhati-hati kerana sesetengah tapak web yang menjual produk palsu meniru tapak web pemilik jenama asal dengan meniru reka letak dan menggunakan imej yang serupa atau menggunakan nama domain yang mengandungi nama jenama tersebut.

  • Selidiki penjual yang asing bagi anda: Jika anda belum pernah membeli daripada peniaga itu sebelum ini, semak dahulu bagi memastikan peniaga itu sah. Sebagai contoh, ketahui lebih lanjut mengenai sejarah perniagaan mereka dan lakukan carian web untuk mencari ulasan daripada pembeli lain yang mempunyai pengalaman dengan penjual tersebut. Peniaga yang sah akan memberi anda maklumat hubungan yang mungkin termasuk alamat fizikal, nombor telefon atau alamat e-mel yang boleh anda gunakan sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau masalah dengan transaksi. Banyak tapak yang menjual produk palsu mempunyai URL yang kelihatan seperti rasmi yang mungkin termasuk ungkapan seperti [jenama]onsale.com atau [jenama].com rasmi. Menyemak rekod WhoIs tapak merupakan satu daripada cara yang mungkin dapat mendedahkan pemilik domain tersebut.

  • Gunakan kaedah pembayaran yang mempunyai perlindungan pembeli: Dalam banyak kes, syarikat kad kredit mengehadkan liabiliti anda bagi pembelian dalam talian sekiranya berlaku penipuan. Sesetengah sistem pembayaran dalam talian tidak berkongsi nombor penuh kad kredit anda dengan penjual untuk memberi anda perlindungan tambahan.

  • Baca cetakan halus: Sebelum membeli, pastikan anda sedia maklum tentang dasar penghantaran, jaminan dan pengembalian penjual. Sesetengah kedai akan menawarkan bayaran balik penuh, manakala yang lain mengenakan bayaran penstokan semula dan memberikan kredit kedai sahaja.

  • Simpan rekod transaksi: Menyimpan salinan digital atau kertas bagi transaksi yang besar boleh membantu anda sekiranya anda perlu mengembalikan item atau mempertikaikan caj tanpa kebenaran yang dibuat terhadap akaun anda.

  • Elakkan tapak yang digodam dan sentiasa perhatikan bar alamat penyemak imbas. Jika anda mengklik pautan dan dihalakan semula dengan serta-merta, tapak itu mungkin telah digodam dan mengandungi perisian hasad. Perisian hasad, seperti virus, cecacing dan kuda Trojan boleh memasang perisian yang tidak diingini pada komputer tanpa pengetahuan anda. Sesetengah tapak web yang digodam tidak menghalakan anda semula ke halaman yang lain secara automatik, tetapi mungkin mengandungi kandungan yang tidak berkaitan dan bersifat spam. Sentiasa berhati-hati dengan memerhatikan bar alamat untuk memastikan anda dihalakan ke tapak yang betul sepertimana yang anda klik.

  • Taip alamat web yang sensitif dalam bar alamat: Jangan menavigasi ke akaun yang sensitif dengan mengklik pautan atau menyalin dan menampal alamat. Sebaliknya, taip sendiri alamat web itu. Tetapi pastikan anda memasukkan alamat yang betul; sesetengah tapak web perampas URL kelihatan sama seperti tapak web sebenar, tetapi direka supaya memancing maklumat akaun anda.

  • Elakkan daripada memasukkan maklumat peribadi di tapak yang mencurigakan. Jika tapak itu meminta maklumat peribadi melebihi maklumat yang diperlukan untuk membeli produk atau menerima perkhidmatan (misalnya, maklumat akaun bank, jawapan soalan keselamatan atau kata laluan) sila berwaspada kerana pertanyaan seperti itu mungkin menandakan cubaan pemancingan data. Sesetengah tapak web mungkin merupakan salinan tapak rasmi, termasuk logo dan teks, tetapi dibuat oleh penipu dengan tujuan untuk mendapatkan maklumat peribadi anda semata-mata. Berikut adalah beberapa petua untuk mengelakkan dan melaporkan tapak pancingan data.

  • Pastikan kata laluan anda kukuh: Jangan gunakan semula kata laluan pada berbilang akaun dan jangan lupa menukarnya dari semasa ke semasa, terutamanya jika anda mengesyaki bahawa akaun anda mungkin berisiko. Semak lebih banyak petua tentang cara memilih kata laluan yang pintar.

  • Hanya hantar maklumat pada sambungan yang selamat: Perhatikan sambungan https:// dalam bar alamat (dan ikon anak kunci dalam bar alamat jika anda menggunakan Google Chrome atau Internet Explorer) apabila menghantar sebarang maklumat sensitif seperti nombor kad kredit atau akaun bank. Semasa mengakses akaun kewangan, pastikan tapak web itu mempunyai Sijil Pengesahahan Lanjutan — URL atau nama tapak web akan dipaparkan dalam warna hijau dalam bar URL bagi banyak penyemak imbas moden. Ini bermaksud bahawa organisasi yang mengendalikan tapak web itu telah disahkan.

  • Elakkan daripada menjalankan transaksi kewangan pada komputer awam: Elakkan daripada melog masuk ke akaun yang mengandungi maklumat kewangan sensitif (misalnya, akaun bank atau kad kredit atau tapak web perdagangan) pada komputer awam atau kongsi. Jika anda mengakses maklumat sedemikian pada komputer awam atau kongsi, jangan lupa untuk log keluar sepenuhnya dan tutup tetingkap penyemak imbas anda selepas selesai.

  • Pastikan anda mendapat item yang dibayar: Setelah menerima item, periksa item anda untuk memastikan segala-galanya seperti yang sepatutnya. Lebih cepat anda cuba menangani kes penipuan, lebih cerah peluang untuk anda dapat menyelesaikannya dengan hasil yang positif.

Di mana anda boleh dapatkan bantuan tambahan?

Terdapat beberapa organisasi yang boleh membantu pengguna melaporkan dan menyelesaikan aduan:

Biro Perniagaan Lebih Baik (Better Business Bureau) dan Liga Pengguna Kebangsaan (National Consumers League) ada menawarkan maklumat yang berkaitan. http://www.bbb.org/pittsburgh/migration/bbb-news-releases/2012/12/counteract-counterfeiting-and-shoddy-knock-offs-on-the-internet/ dan www.fraud.org

Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (Federal Trade Commission - FTC) mengendalikan aduan mengenai amalan perniagaan yang menipu atau tidak adil. Untuk memfailkan aduan, lawati http://www.ftc.gov/ftc/contact.shtm

Jika aduan anda adalah terhadap syarikat di luar negara, anda mungkin boleh melaporkan aduan di http://www.econsumer.gov/

Di Kesatuan Eropah, Rangkaian Pusat Pengguna Eropah (European Consumer Centres' Network) membantu pengguna mencari penyelesaian bagi masalah beli-belah merentasi sempadan sedemikian.http://ec.europa.eu/consumers/ecc/index_en.htm

Alat keselamatan

Ketahui 5 ciri keselamatan dalam talian teratas Google yang direka untuk membantu anda memastikan keluarga anda selamat dalam talian.

Akaun Google

Jadikan Akaun Google anda lebih selamat

Anda boleh menambahkan lapisan keselamatan tambahan pada Akaun Google anda dengan mendayakan pengesahan 2 langkah. Jika anda menghidupkan pengesahan 2 langkah, Google akan menghantar kod laluan ke telefon mudah alih anda apabila seseorang cuba log masuk ke akaun anda dari komputer yang tidak dikenali. Ini bermakna, jika seseorang mencuri atau meneka kata laluan anda, bakal penyerang tersebut masih tidak dapat log masuk ke akaun anda kerana mereka tidak memiliki telefon anda. Kini anda boleh melindungi diri anda dengan sesuatu yang anda tahu (kata laluan anda) dan sesuatu yang anda miliki (telefon anda).

Ketahui lebih lanjut

Akses tetapan anda dengan mengklik nama atau gambar anda di penjuru kanan, kemudian klik Akaun.

Di bahagian atas, klik Keselamatan. Dalam kotak Kata Laluan, klik Persediaan di sebelah "Pengesahan 2 langkah."

Anda kemudiannya akan melihat panduan langkah demi langkah yang akan membantu anda melalui proses persediaan.

Anda kemudiannya akan dibawa kembali ke tetapan pengesahan 2 langkah. Semak tetapan anda dan tambah nombor telefon sandaran.

Sudah selesai! Pada log masuk anda yang seterusnya, anda akan menerima SMS dengan kod pengesahan.

Chrome

Semak imbas web secara tertutup

Anda boleh menggunakan Mod Inkognito dalam penyemak imbas Chrome pada komputer, tablet atau telefon anda untuk menyemak imbas web secara tertutup. Dalam Mod Inkognito, halaman yang anda lawati dan fail yang anda muat turun tidak direkodkan dalam sejarah penyemakan imbas atau muat turun Chrome.

Ketahui lebih lanjut

Klik menu Chrome pada bar alat penyemak imbas → Klik Tetingkap Inkognito Baharu.

Tetingkap baharu akan dibuka dengan ikon inkognito terletak di penjuru. Untuk keluar, hanya tutup tingkap tersebut.

Akaun Google

Akaun Google anda, gaya anda

Pada halaman tetapan Akaun anda, anda boleh melihat perkhidmatan dan maklumat yang berkaitan dengan Akaun Google anda dan menukar tetapan keselamatan dan privasi anda.

Ketahui lebih lanjut

Akses tetapan dengan mengklik nama atau gambar anda di penjuru kanan, kemudian klik Akaun.

Akaun Google

Dapatkan makluman jika nama anda muncul di web

Saya di Web boleh membantu anda memahami dan mengurus bahan yang orang lihat apabila mereka mencari anda di Google. Ciri ini membantu anda menyediakan Google Alerts supaya anda boleh memantau jika maklumat tentang anda dipaparkan dalam talian dan secara automatik mencadangkan beberapa istilah carian yang anda mungkin ingin awasi.

Ketahui lebih lanjut

Log masuk ke Akaun Google dan navigasi ke bahagian “Saya di Web”.

Klik Urus Makluman Web saya dan kemudian klik butang merah untuk membuat makluman.

Nama anda akan dipaparkan dalam medan teks. Klik medan teks untuk melihat lagi makluman yang disyorkan.

Klik Tambah untuk menambahkan makluman. Klik ikon pensel untuk membuat suntingan dan ikon tong sampah untuk memadamkan.

Dalam menu lungsur “Berapa kerap”, pilih kekerapan makluman.

Akaun Google

Urus data yang disimpan dalam Akaun Google anda

Dashboard Google menunjukkan apa yang disimpan dalam Akaun Google anda dan memberikan gambaran keseluruhan kepada beberapa aktiviti akaun anda baru-baru ini. Dari satu lokasi pusat, anda boleh melihat data dan aktiviti anda dengan mudah dan mengakses tetapan anda untuk perkhidmatan seperti Blogger, Kalendar, Docs, Google+ dan banyak lagi.

Ketahui lebih lanjut

Lawati Dashboard untuk melihat ringkasan data yang dikaitkan dengan Akaun Google anda dan mengurus tetapan peribadi anda.

Dari sini, lihat dan urus data yang disimpan dalam Akaun Google anda.

Lihat lagi alat keselamatan