Syarat Perkhidmatan Google

Ini merupakan versi arkib Syarat Perkhidmatan kami. Lihat versi semasa atau semua versi lalu.

Yang terakhir diubah suai: 11 November 2013

Selamat datang ke Google!

Terima kasih kerana mengguna produk dan perkhidmatan kami (“Perkhidmatan”). Perkhidmatan yang diberikan oleh Google Inc. (“Google”), yang terletak di 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States.

Dengan menggunakan Perkhidmatan kami, anda bersetuju menerima syarat-syarat ini. Sila membacanya dengan berhati-hati.

Perkhidmatan kami amat berbeza, oleh itu kadangkala syarat tambahan atau keperluan produk (termasuk keperluan umur) mungkin dikenakan. Syarat tambahan akan disediakan dengan Perkhidmatan yang berkaitan dan syarat tambahan tersebut menjadi sebahagian daripada perjanjian anda dengan kami jika anda mengguna Perkhidmatan tersebut.

Penggunaan Perkhidmatan kami

Anda hendaklah mematuhi mana-mana polisi yang disediakan kepada anda dalam Perkhidmatan.

Jangan menyalahgunakan Perkhidmatan kami. Contohnya, jangan mengganggu Perkhidmatan kami atau cuba mengaksesnya mengguna cara selain daripada antara muka dan arahan yang kami sediakan. Anda boleh mengguna Perkhidmatan kami hanya seperti yang dibenarkan oleh undang-undang, termasuk undang-undang dan peraturan pengawalan ekspot and ekspot semula yang berkenaan. Kami boleh menggantung atau menghentikan pemberian Perkhidmatan kami kepada anda jika anda tidak mematuhi syarat atau polisi kami atau jika kami menyiasat salah laku yang disyaki.

Penggunaan Perkhidmatan kami tidak memberi anda pemilikan kepada mana-mana hak harta intelek dalam Perkhidmatan atau kandungan yang anda akses. Anda tidak boleh mengguna kandungan daripada Perkhidmatan kami melainkan jika anda mendapat kebenaran daripada pemiliknya atau jika dibenarkan oleh undang-undang. Syarat ini tidak memberi anda hak untuk mengguna sebarang penjenamaan atau logo yang digunakan dalam Perkhidmatan kami. Jangan memindah keluar, melindungi atau mengubah sebarang notis undang-undang yang dipaparkan dalam atau bersama dengan Perkhidmatan kami.

Perkhidmatan kami memaparkan beberapa kandungan yang bukan milik Google. Kandungan ini adalah tanggungjawab sepenuhnya entiti tersebut yang menyediakannya. Kami mungkin menyemak semula kandungan bagi menentukan sama ada tidak sah atau melanggar polisi kami dan kami mungkin memindah keluar atau enggan memapar kandungan yang kami percaya dengan wajar melanggar polisi kami atau undang-undang. Tetapi ini tidak semestinya bermakna yang kami menyemak kandungan, jadi jangan menganggap bahawa kami berbuat demikian.

Berhubung dengan penggunaan Perkhidmatan oleh anda, kami mungkin menghantar kepada anda pengumuman, mesej pentadbiran dan maklumat perkhidmatan yang lain. Anda boleh memilih untuk tidak mengikut serta menerima beberapa komunikasi tersebut.

Sesetengah Perkhidmatan kami boleh didapati pada peranti mudah alih. Jangan gunakan Perkhidmatan tersebut dalam cara yang mengalihkan perhatian anda dan mengelakkan anda daripada memathui undang-undang trafik atau undang-undang keselamatan.

Akaun Google Anda

Anda mungkin memerlukan Akaun Google untuk menggunakan sebahagian daripada Perkhidmatan kami. Anda boleh mencipta Akaun Google anda sendiri atau Akaun Google anda boleh diberikan kepada anda oleh pentadbir, seperti majikan atau institusi pendidikan anda. Jika anda menggunakan Akaun Google yang diberikan kepada anda oleh pentadbir, syarat berbeza atau tambahan mungkin terpakai dan pentadbir anda mungkin boleh mengakses atau melumpuhkan akaun anda.

Untuk melindungi Akaun Google anda, rahsiakan kata laluan anda. Anda bertanggungjawab atas aktiviti yang berlaku pada atau melalui Akaun Google anda. Cuba untuk tidak menggunakan semula kata laluan Akaun Google anda pada aplikasi pihak ketiga. Jika anda mengetahui berlaku sebarang penggunaan kata laluan atau Akaun Google anda yang tidak dibenarkan, ikut arahan ini.

Perlindungan Privasi dan Hak Cipta

Polisi privasi Google menerangkan bagaimana kami mengendalikan data peribadi anda dan melindungi privasi anda apabila anda menggunakan Perkhidmatan kami. Dengan mengguna Perkhidmatan kami, anda bersetuju bahawa Google boleh mengguna data seperti itu menurut polisi privasi kami.

Kami membalas notis pelanggaran hak cipta yang disyaki dan menamatkan akaun pesalah berulang menurut proses yang ditetapkan dalam Akta Hak Cipta Milenium Digital A.S.

Kami menyediakan maklumat bagi membantu pemegang hak cipta mengurus harta intelek mereka dalam talian. Jika anda fikir seseorang sedang melanggar hak cipta anda dan ingin memaklumkan kami, anda boleh mendapat maklumat mengenai penyerahan notis dan polisi Google mengenai balasan notis dalam Pusat Bantuan kami.

Kandungan anda dalam Perkhidmatan kami

Beberapa Perkhidmatan kami membolehkan anda menyerah kandungan. Anda mengekalkan pemilikan mana-mana hak harta intelek yang anda pegang dalam kandungan tersebut. Secara ringkasnya, apa yang anda miliki, kekal menjadi milik anda.

Apabila anda memuat naik atau mengemuka kandungan kepada Perkhidmatan kami, anda memberi Google (dan mereka yang bekerjasama dengan kami) lesen seluruh dunia untuk mengguna, menjadi hos, menyimpan, menghasil semula, mengubah suai, mencipta karya terbitan (seperti yang terhasil daripada penterjemahan, adaptasi atau perubahan lain yang kami lakukan supaya kandungan anda berfungsi dengan lebih baik dengan Perkhidmatan kami), berkomunikasi, menerbitkan, membuat persembahan secara terbuka, membuat pemaparan secara terbuka dan mengedarkan kandungan seperti itu. Hak yang anda berikan dalam lesen ini adalah untuk tujuan pengendalian, promosi dan peningkatan Perkhidmatan kami yang terhad dan untuk memajukan Perkhidmatan yang baru. Lesen ini berterusan walaupun anda berhenti menggunakan Perkhidmatan kami (contohnya, untuk senarai perniagaan yang anda telah tambahkan pada Peta Google). Beberapa perkhidmatan mungkin menawarkan cara mengakses dan memindah keluar kandungan yang telah disediakan kepada Perkhidmatan tersebut. Selain itu, dalam beberapa Perkhidmatan kami, terdapat syarat atau tetapan yang mengecilkan skop penggunaan kami terhadap kandungan yang dikemukakan dalam Perkhidmatan tersebut. Pastikan anda mempunyai hak yang sewajarnya untuk memberikan kami lesen ini bagi mana-mana kandungan yang anda kemukakan kepada Perkhidmatan kami.

Jika anda mempunyai Akaun Google, kami boleh memaparkan nama Profil anda, foto Profil anda dan tindakan yang anda ambil dengan menggunakan Google atau aplikasi pihak ketiga yang dihubungkan ke Akaun Google anda (seperti +1, ulasan yang anda tulis dan komen yang anda siarkan) dalam Perkhidmatan, termasuk memaparkan dalam iklan dan konteks komersil lain. Kami akan menghormati pilihan yang anda buat untuk mengehadkan tetapan perkongsian atau keterlihatan dalam Akaun Google anda. Contohnya, anda boleh memilih tetapan anda supaya nama dan gambar anda tidak dipaparkan dalam iklan.

Anda boleh mendapat maklumat lanjut mengenai bagaimana Google mengguna dan menyimpan kandungan dalam polisi privasi atau syarat tambahan untuk Perkhidmatan tertentu. Jika anda menyerahkan maklum balas atau cadangan mengenai Perkhidmatan kami, kami mungkin mengguna maklum balas atau cadangan anda tanpa kewajipan terhadap anda.

Mengenai Perisian dalam Perkhidmatan kami

Apabila suatu Perkhidmatan memerlukan atau termasuk perisian yang boleh dimuat turun, perisian ini boleh mengemas kini secara automatik pada peranti anda setelah versi atau ciri baru disediakan. Beberapa Perkhidmatan mungkin membenarkan anda melaraskan seting kemas kini automatik anda.

Google memberikan anda lesen peribadi, seluruh dunia, bebas royalti, tidak boleh diserahhakkan dan tidak eksklusif untuk mengguna perisian yang disediakan kepada anda oleh Google sebagai sebahagian daripada Perkhidmatan tersebut. Lesen ini adalah semata-mata bagi tujuan untuk membolehkan anda mengguna dan menikmati manfaat Perkhidmatan seperti yang disediakan oleh Google, dalam cara yang dibenarkan oleh syarat ini. Anda tidak boleh menyalin, mengubah suai, mengedar, menjual atau menyewa mana-mana bahagian Perkhidmatan kami atau perisian yang disertakan dan anda tidak boleh mengatur songsang atau mencuba untuk mengeluarkan kod sumber perisian tersebut, kecuali undang-undang melarang pengehadan tersebut atau anda mempunyai kebenaran bertulis daripada kami.

Perisian sumber terbuka adalah penting bagi kami. Sebahagian perisian yang digunakan dalam Perkhidmatan kami mungkin ditawarkan di bawah lesen sumber terbuka yang akan kami sediakan untuk anda. Mungkin terdapat peruntukan dalam lesen sumber terbuka yang dengan jelas mengatasi beberapa syarat ini.

Pengubahsuaian dan Penamatan Perkhidmatan kami

Kami sentiasa mengubah dan meningkatkan Perkhidmatan kami. Kami mungkin menambah atau memindah keluar kefungsian atau ciri dan kami mungkin menggantung atau menghentikan sama sekali suatu Perkhidmatan.

Anda boleh berhenti mengguna Perkhidmatan kami pada bila-bila masa, walaupun kami kesal dengan pemergian anda. Google juga boleh berhenti menyediakan Perkhidmatan kepada anda atau menambah atau mencipta had baru kepada Perkhidmatan kami pada bila-bila masa.

Kami percaya bahawa anda memiliki data anda sendiri dan pemeliharaan akses anda kepada data itu adalah penting. Jika kami menamatkan suatu Perkhidmatan, dimana kami boleh dengan munasabah, kami akan memberi anda notis terlebih dahulu yang munasabah dan peluang untuk mengeluarkan maklumat daripada Perkhidmatan tersebut.

Waranti dan Penolakan kami

Kami menyediakan Perkhidmatan kami menggunakan tahap kemahiran dan perhatian yang berpatutan secara komersial dan kami harap anda gembira menggunakannya. Tetapi terdapat perkara tertentu yang kami tidak janjikan mengenai Perkhidmatan kami.

SELAIN DARIPADA YANG DINYATAKAN SECARA JELAS DALAM SYARAT-SYARAT INI ATAU SYARAT TAMBAHAN, BAIK GOOGLE MAHUPUN PEMBEKAL ATAU PENGEDARNYA TIDAK MEMBUAT SEBARANG JANJI TERTENTU MENGENAI PERKHIDMATAN. CONTOHNYA, KAMI TIDAK MEMBUAT SEBARANG KOMITMEN MENGENAI KANDUNGAN DALAM PERKHIDMATAN, FUNGSI TERTENTU PERKHIDMATAN ATAU KEBOLEHPERCAYAANNYA, KETERSEDIAANNYA ATAU KEUPAYAANNYA UNTUK MEMENUHI KEPERLUAN ANDA. KAMI MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN “SEBAGAIMANA ADA”.

BEBERAPA BIDANG KUASA MENYEDIAKAN WARANTI TERTENTU, SEPERTI WARANTI TERSIRAT KEBOLEHDAGANGANNYA, KESESUAIAN UNTUK TUJUAN TERTENTU DAN TIADA PELANGGARAN. SEHINGGA TAHAP YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG, KAMI MENGECUALIKAN SEMUA WARANTI.

Liabiliti untuk Perkhidmatan kami

APABILA DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG, GOOGLE DAN PEMBEKAL DAN PENGEDARNYA , TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KEHILANGAN KEUNTUNGAN, HASIL ATAU DATA, KERUGIAN KEWANGAN ATAU GANTI RUGI TIDAK LANGSUNG, KHAS, LANJUTAN, TELADAN ATAU PUNITIF.

SEHINGGA TAHAP YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG, JUMLAH LIABILITI GOOGLE DAN PEMBEKAL DAN PENGEDARNYA, UNTUK SEBARANG TUNTUTAN DI BAWAH SYARAT INI, TERMASUK SEBARANG WARANTI TERSIRAT, DIHADKAN KEPADA JUMLAH YANG ANDA BAYAR KEPADA KAMI UNTUK MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN (ATAU JIKA KAMI MEMILIH, UNTUK MEMBEKAL PERKHIDMATAN KEPADA ANDA LAGI).

DALAM SEMUA KES, GOOGLE DAN PEMBEKAL DAN PENGEDARNYA, TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB UNTUK SEBARANG KERUGIAN ATAU GANTI RUGI YANG TIDAK BOLEH DIJANGKAKAN SECARA MUNASABAH.

Penggunaan perniagaan untuk Perkhidmatan kami

Jika anda menggunakan Perkhidmatan kami bagi pihak perniagaan, perniagaan tersebut menerima syarat ini. Ia tidak akan mengambil apa-apa tindakan dan menanggung rugi Google dan anggota gabungan, pegawai, ejen dan kakitangannya daripada sebarang tuntutan, tindakan guaman, atau tindakan yang berpunca dari atau berkaitan dengan penggunaan Perkhidmatan atau pelanggaran syarat ini, termasuk sebarang liabiliti atau perbelanjaan yang berpunca dari tuntutan, kerugian, kerosakan, tindakan guaman, penghakiman, kos litigasi dan bayaran guaman.

Mengenai Syarat-syarat ini

Kami mungkin mengubah suai syarat-syarat ini atau mana-mana syarat tambahan yang berkaitan dengan Perkhidmatan, contohnya, untuk menggambarkan perubahan undang-undang atau perubahan dalam Perkhidmatan kami. Anda harus menyemak syarat secara tetap. Kami akan menyiarkan notis pengubahsuaian untuk syarat ini pada halaman ini. Kami akan menyiarkan notis syarat tambahan yang diubah suai dalam Perkhidmatan yang berkaitan. Perubahan tidak akan dikenakan secara retroaktif dan akan berkuatkuasa selepas empat belas hari ianya disiarkan. Bagaimanapun, perubahan yang mengutarakan fungsi baru bagi Perkhidmatan atau perubahan yang dibuat untuk tujuan undang-undang akan berkuatkuasa dengan serta-merta. Jika anda tidak bersetuju menerima syarat yang diubah suai untuk Perkhidmatan, anda harus berhenti mengguna Perkhidmatan tersebut.

Jika terdapat percanggahan antara syarat ini dan syarat tambahan, syarat tambahan akan berkuasa untuk percanggahan tersebut.

Syarat ini mengawal perhubungan di antara Google dan anda. Ia tidak mencipta sebarang hak benefisiari pihak ketiga.

Jika anda tidak mematuhi syarat-syarat ini dan kami tidak mengambil tindakan dengan serta-merta, ini tidak bermakna yang kami sedang menyerahkan mana-mana hak yang kami miliki (seperti mengambil tindakan pada masa hadapan).

Jika didapati syarat tertentu tidak boleh dikuatkuasakan, ini tidak akan menjejaskan mana-mana syarat yang lain.

Undang-undang California, A.S., dengan mengecualikan percanggahan peraturan undang-undang California, akan digunakan untuk sebarang pertikaian yang timbul daripada atau berkaitan dengan syarat-syarat ini atau Perkhidmatan tersebut. Semua tuntutan yang timbul daripada atau berkenaan dengan syarat atau Perkhidmatan ini akan dibuat litigasi secara eksklusif dalam mahkamah persekutuan atau negeri Daerah Santa Clara, California, A.S., dan anda dan Google mengizinkan bidang kuasa persendirian dalam mahkamah tersebut.

Untuk mendapatkan maklumat mengenai cara menghubungi Google, sila melawat halaman hubungan kami.