Cegah pencurian identiti

Sama seperti perompak dan pencuri, penjenayah siber mempunyai banyak cara yang berbeza untuk mencuri maklumat peribadi dan wang. Anda sudah tentu tidak akan memberi kunci rumah anda kepada pencuri, oleh itu, pastikan anda melindungi diri anda daripada penipuan dan pencurian identiti dalam talian. Ketahui helah yang biasa penjenayah gunakan agar anda dapat melindungi diri daripada penipuan dan pencurian identiti dalam talian. Berikut terdapat beberapa petua mudah.

Jangan balas jika anda melihat e-mel, mesej segera atau halaman web yang mencurigakan yang meminta maklumat peribadi atau kewangan anda

Sentiasa berhati-hati terhadap sebarang mesej atau tapak yang meminta maklumat peribadi anda atau mesej yang merujukkan anda ke halaman yang tidak dikenali yang meminta sebarang butiran berikut:

  • Nama pengguna
  • Kata laluan
  • Nombor keselamatan sosial
  • Nombor akaun bank
  • PIN (Nombor Pengenalan Peribadi)
  • Nombor penuh kad kredit
  • Nama keluarga ibu anda sebelum beliau berkahwin
  • Tarikh lahir anda

Jangan isi sebarang borang atau skrin log masuk yang mungkin dipautkan dari mesej tersebut. Jika seseorang yang mencurigakan meminta anda untuk mengisi borang dengan memberikan maklumat peribadi anda, jangan terdorong untuk mula mengisinya. Walaupun anda tidak menekan butang "serah", anda mungkin tetap menghantar maklumat anda kepada pencuri identiti jika anda mula meletakkan data anda dalam borang mereka.

Jika anda melihat mesej daripada seseorang yang anda kenali yang tidak kelihatan seperti mereka, akaun mereka mungkin telah terjejas oleh penjenayah siber yang cuba untuk mendapatkan wang atau maklumat daripada anda - jadi, berhati-hati dalam cara anda membalasnya. Antara muslihat yang biasa dilakukan ialah meminta anda menghantar wang dengan segera kepada mereka, mendakwa terkandas di negara lain atau mengatakan bahawa telefon mereka telah dicuri supaya mereka tidak dapat dihubungi. Mesej turut boleh memberitahu anda untuk klik pada pautan untuk melihat gambar, artikel atau video, yang sebenarnya membawa anda ke tapak yang mungkin mencuri maklumat anda - oleh itu, fikir dahulu sebelum anda klik!

Jangan sekali-kali masukkan kata laluan anda jika anda telah tiba di tapak dengan mengikut pautan dalam e-mel atau sembang yang anda tidak percayai

Malah, jika anda fikir tapak tersebut ialah tapak yang anda percayai, seperti bank anda, lebih baik anda pergi terus ke tapak tersebut dengan menggunakan penanda halaman atau menaip terus alamat tapak tersebut ke dalam penyemak imbas.

Jangan hantar kata laluan anda melalui e-mel dan jangan kongsikannya dengan orang lain

Kata laluan anda merupakan kunci kepada akaun dan perkhidmatan dalam talian anda, oleh itu sebagaimana dalam kehidupan luar talian anda, anda harus berhati-hati memilih individu yang anda hendak berikan kunci anda itu. Tapak dan perkhidmatan yang sah tidak akan meminta anda menghantar kepada mereka kata laluan anda melalui e-mel, oleh itu, jangan balas jika anda mendapat permintaan untuk mengisi kata laluan anda pada tapak dalam talian.

Kata laluan anda sangat penting, oleh itu, anda perlu berfikir dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk mengongsinya dengan orang lain - walaupun dengan rakan dan keluarga. Apabila anda berkongsi kata laluan anda, terdapat risiko lebih besar yang seseorang mungkin menyalahgunakan akaun anda dengan mengakses maklumat yang anda tidak mahu mereka gunakan atau menggunakan akaun tersebut dalam cara yang anda tidak benarkan. Contohnya, jika anda berkongsi kata laluan e-mel anda dengan seseorang, orang itu mungkin membaca e-mel peribadi anda, cuba menggunakan akaun e-mel anda untuk mengakses perkhidmatan dalam talian lain yang anda mungkin gunakan, seperti perbankan atau tapak sosial atau menggunakan akaun anda untuk menyamar sebagai anda. Akhir sekali, apabila anda berkongsi kata laluan anda dengan seseorang, anda perlu bergantung kepada mereka untuk menyimpannya dengan selamat; mereka mungkin mengongsinya dengan orang lain secara sengaja atau tidak.

Berikan perhatian teliti apabila diminta untuk mendaftar dalam talian

Semak isyarat mengenai sambungan anda dengan tapak web.

Mula-mula, lihat bar alamat dalam penyemak imbas anda untuk melihat jika URL kelihatan tulen. Anda turut harus menyemak untuk melihat jika alamat web bermula dengan https:// – yang menunjukkan bahawa sambungan anda ke tapak web telah disulitkan dan lebih tahan terhadap pengintipan atau gangguan. Sesetengah penyemak imbas turut menyertakan ikon ibu kunci dalam bar alamat di sebelah https:// untuk menunjukkan dengan lebih jelas bahawa sambungan anda disulitkan dan anda disambungkan dengan lebih selamat.

Laporkan e-mel dan penipuan yang mencurigakan

Kebanyakan penyedia e-mel, termasuk Gmail, membenarkan anda melakukan perkara ini. Tindakan melaporkan mesej yang mencurigakan dalam Gmail akan membantu menyekat pengguna tersebut daripada menghantar kepada anda lebih banyak e-mel dan membantu pasukan penyalahgunaan kami menghentikan serangan yang serupa.