Cara kami membantu anda memastikan komputer dan peranti anda bersih

Walaupun sesetengah penjenayah mungkin mahu mendapatkan maklumat anda, seperti butiran akaun bank, kata laluan peti masuk atau dalam talian anda, penjenayah lain pula mungkin ingin mengambil alih kawalan peranti anda – komputer, tablet atau telefon anda.

Penjenayah itu kemudiannya boleh menggunakan peranti anda untuk mendapatkan peranti lain yang mereka boleh kawal. Mereka sering menggunakan beberapa komputer untuk menggodam tapak web di luar talian atau memecah masuk ke sistem keselamatan tapak web tersebut.

Salah satu cara yang paling kerap digunakan oleh penjenayah untuk mengambil alih kawalan komputer anda adalah dengan memasang perisian yang berniat jahat atau perisian hasad. Anda boleh membantu melindungi komputer anda daripada perisian hasad, tetapi Google turut berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu melindungi anda, dengan beratus-ratus pakar keselamatan bekerja sepanjang masa untuk membantu memastikan data dan peranti anda selamat.

Membantu anda mengelakkan perisian hasad

Sama seperti Google mencari di web untuk mendapatkan tapak yang mempunyai jawapan yang terbaik untuk soalan anda, kami turut mencari tapak yang kelihatan berbahaya kepada pengguna atau mengandungi perisian hasad. Setiap hari, kami mengenal pasti dan membenderakan lebih 10,000 tapak yang tidak selamat dan kami memaparkan amaran pada sebanyak 14 juta hasil Carian Google dan 300,000 muat turun, memberitahu pengguna kami bahawa mungkin ada sesuatu yang mencurigakan berlaku di sebalik tapak web atau pautan tertentu.

Kami turut menggunakan teknologi yang sama untuk membantu mengenal pasti jika seseorang menghantar kepada anda mesej dalam Gmail yang mungkin membahayakan atau mengandungi perisian hasad dan untuk memberi amaran kepada anda jika anda cuba memuat turun sesuatu dari laman web yang mungkin kelihatan seperti nada dering atau PDF, tetapi secara rahsia mengandungi kod yang boleh merosakkan komputer anda.

Walaupun anda pergi juga ke halaman yang mengandungi perisian hasad, jurutera Google telah membina pertahanan tambahan dalam penyemak imbas Chrome yang membantu mencegah perisian hasad daripada memasang sendiri pada komputer anda dan mengurangkan kesan buruk perisian hasad pada komputer anda.

Membantu anda sentiasa terkini

Salah satu cara yang penjenayah kadangkala gunakan untuk mendapat akses ke komputer anda ialah dengan mencari masalah keselamatan yang diketahui dalam perisian versi lama yang sedang dijalankan pada peranti anda. Mereka tahu bahawa ramai orang tidak selalu mengemas kini perisian dan program komputer mereka kepada versi terkini, yang mempunyai perlindungan keselamatan yang terbaik. Google turut mengetahui perkara ini, itulah sebabnya kami membina penyemak imbas Chrome untuk mengemas kini secara automatik kepada versi terbaharu setiap kali anda memulakannya, jadi anda boleh mendapatkan perlindungan keselamatan terkini tanpa sebarang usaha tambahan.

Chrome kadangkala terpaksa berfungsi dengan perisian lain, yang dipanggil pemalam, untuk melakukan perkara seperti memaparkan gambar atau video dengan betul. Pemalam ini turut boleh menjadi salah satu cara yang digunakan oleh penjenayah untuk mendapatkan kawalan terhadap komputer anda. Jika Chrome mengesan pemalam sudah lapuk yang mempunyai masalah keselamatan, pemalam tersebut akan disekat sehingga anda memasang versi yang terkini dan paling selamat serta memaparkan kepada anda mesej yang memberitahu anda pemalam tersebut perlu dikemas kini.

Membantu anda mengekalkan keselamatan peranti mudah alih anda

Telefon pintar yang menjalankan perisian Google Android mempunyai perlindungan yang sama untuk mengurangkan risiko kerosakan.

Android turut menghendaki setiap apl dalam gedung Google Play menyenaraikan jenis maklumat yang apl tersebut ingin kumpulkan atau akses dari peranti anda, supaya anda boleh membuat keputusan sama ada anda mempercayai apl tersebut atau tidak. Kami turut mengimbas Google Play secara automatik untuk menyekat dan mengalih keluar apl berbahaya dan untuk sesetengah telefon Android, Perkhidmatan Pengesahan Aplikasi Google kami akan memeriksa aplikasi yang mungkin berbahaya, tidak kira dari mana anda memperolehnya. Jadi, jika anda memasang aplikasi daripada sumber yang tidak diketahui seperti web atau gedung apl pihak ketiga, perkhidmatan percuma ini akan memberikan anda satu lagi lapisan keselamatan.