Lindungi kata laluan anda

Kata laluan merupakan pertahanan pertama terhadap jenayah siber. Penting untuk memilih kata laluan kukuh yang berbeza bagi setiap akaun penting anda dan selalu mengemas kini akaun anda merupakan amalan yang baik. Ikut petua ini untuk membuat kata laluan yang kuat dan simpannya dengan selamat.

Gunakan kata laluan yang unik untuk setiap akaun penting anda seperti e-mel dan perbankan dalam talian

Memilih kata laluan yang sama untuk setiap akaun dalam talian anda adalah seperti menggunakan kunci yang sama untuk mengunci rumah, kereta dan pejabat anda – jika penjenayah mendapat akses untuk satu akaun, kesemuanya akan terjejas. Jadi, jangan gunakan kata laluan yang sama untuk surat berita dalam talian seperti yang anda lakukan untuk e-mel atau akaun bank anda. Mungkin agak menyusahkan, tetapi pemilihan pelbagai kata laluan akan memastikan anda lebih selamat.

Simpan kata laluan anda di tempat rahsia yang tidak mudah dilihat

Tindakan menulis kata laluan anda tidak semestinya idea yang buruk. Tetapi jika anda melakukannya, jangan tinggalkan nota dengan kata laluan anda di tempat yang mudah dilihat, pada komputer atau meja anda.

Gunakan kata laluan panjang yang terdiri daripada nombor, huruf dan simbol

Lebih panjang kata laluan anda, lebih sukar untuk menekanya. Jadi, buat kata laluan yang panjang untuk membantu memastikan maklumat anda selamat. Menambah nombor, simbol dan campuran huruf besar dan kecil menjadikannya lebih sukar bagi bakal pengintip atau orang lain untuk meneka atau memecahkan kata laluan anda. Jangan gunakan '123456' atau 'kata laluan' dan elakkan daripada menggunakan maklumat yang boleh didapati secara umum seperti nombor telefon anda dalam kata laluan anda. Kata laluan begini tidak begitu asli dan tidak begitu selamat!

Cuba gunakan frasa yang hanya anda tahu

Salah satu idea ialah dengan memikirkan frasa yang hanya anda tahu dan jadikannya berkaitan dengan tapak web tertentu tersebut bagi membantu anda mengingatinya. Untuk e-mel anda, anda boleh bermula dengan “Rakan saya Tom dan Jasmine menghantar kepada saya e-mel lucu sehari sekali” dan kemudian gunakan nombor dan huruf untuk membuatnya semula. “RsT&Jmksel1hs” merupakan kata laluan yang mengandungi banyak variasi. Kemudian ulang proses ini untuk tapak lain.

Sediakan pilihan pemulihan kata laluan anda dan sentiasa mengemaskininya

Jika anda terlupa kata laluan anda atau tidak dibenarkan masuk, anda memerlukan cara untuk dapat masuk kembali ke akaun anda. Banyak perkhidmatan akan menghantar e-mel kepada anda di alamat e-mel pemulihan jika anda perlu menetapkan semula kata laluan anda, jadi pastikan alamat e-mel pemulihan anda terkini dan akaun yang anda masih boleh akses.

Kadangkala anda turut boleh menambahkan nombor telefon pada profil anda untuk menerima kod bagi menetapkan semula kata laluan anda melalui mesej teks. Mempunyai nombor telefon bimbit pada akaun anda adalah salah satu cara paling mudah dan paling boleh dipercayai untuk membantu mengekalkan akaun anda selamat.

Contohnya, penyedia perkhidmatan boleh menggunakan nombor telefon untuk mencabar orang yang cuba memecah masuk ke akaun anda dan boleh menghantar kod pengesahan supaya anda boleh masuk ke akaun anda jika anda kehilangan akses. Pemberian nombor telefon pemulihan kepada Google tidak akan mengakibatkan anda didaftarkan untuk senarai pemasaran atau mendapat lebih banyak panggilan daripada pihak telepemasaran.

Telefon bimbit anda ialah kaedah pengenalan yang lebih selamat berbanding alamat e-mel pemulihan anda atau soalan keselamatan kerana, tidak seperti kedua-dua kaedah tersebut, anda memiliki telefon bimbit anda secara fizikal.

Walau bagaimanapun, jika anda tidak boleh atau tidak mahu menambahkan nombor telefon pada akaun anda, banyak tapak web mungkin meminta anda untuk memilih soalan untuk mengesahkan identiti anda sekiranya anda terlupa kata laluan anda. Jika perkhidmatan yang anda gunakan membolehkan anda mencipta soalan anda sendiri, cuba buat soalan yang jawapannya hanya anda sahaja tahu dan bukannya sesuatu yang anda siarkannya secara umum atau dikongsi pada media sosial.

Cuba cari cara untuk menjadikan jawapan anda unik tetapi boleh diingat – anda boleh melakukannya dengan menggunakan petua di atas – jadi, walaupun seseorang meneka jawapannya, mereka tidak akan tahu cara memasukkannya dengan betul. Jawapan ini sangat penting untuk diingat – jika anda terlupa, anda mungkin tidak akan dapat masuk kembali ke akaun anda.

Alat keselamatan

Ketahui 5 ciri keselamatan dalam talian teratas Google yang direka untuk membantu anda memastikan keluarga anda selamat dalam talian.

Akaun Google

Jadikan Akaun Google anda lebih selamat

Anda boleh menambahkan lapisan keselamatan tambahan pada Akaun Google anda dengan mendayakan pengesahan 2 langkah. Jika anda menghidupkan pengesahan 2 langkah, Google akan menghantar kod laluan ke telefon mudah alih anda apabila seseorang cuba log masuk ke akaun anda dari komputer yang tidak dikenali. Ini bermakna, jika seseorang mencuri atau meneka kata laluan anda, bakal penyerang tersebut masih tidak dapat log masuk ke akaun anda kerana mereka tidak memiliki telefon anda. Kini anda boleh melindungi diri anda dengan sesuatu yang anda tahu (kata laluan anda) dan sesuatu yang anda miliki (telefon anda).

Ketahui lebih lanjut

Akses tetapan anda dengan mengklik nama atau gambar anda di penjuru kanan, kemudian klik Akaun.

Di bahagian atas, klik Keselamatan. Dalam kotak Kata Laluan, klik Persediaan di sebelah "Pengesahan 2 langkah."

Anda kemudiannya akan melihat panduan langkah demi langkah yang akan membantu anda melalui proses persediaan.

Anda kemudiannya akan dibawa kembali ke tetapan pengesahan 2 langkah. Semak tetapan anda dan tambah nombor telefon sandaran.

Sudah selesai! Pada log masuk anda yang seterusnya, anda akan menerima SMS dengan kod pengesahan.

Chrome

Semak imbas web secara tertutup

Anda boleh menggunakan Mod Inkognito dalam penyemak imbas Chrome pada komputer, tablet atau telefon anda untuk menyemak imbas web secara tertutup. Dalam Mod Inkognito, halaman yang anda lawati dan fail yang anda muat turun tidak direkodkan dalam sejarah penyemakan imbas atau muat turun Chrome.

Ketahui lebih lanjut

Klik menu Chrome pada bar alat penyemak imbas → Klik Tetingkap Inkognito Baharu.

Tetingkap baharu akan dibuka dengan ikon inkognito terletak di penjuru. Untuk keluar, hanya tutup tingkap tersebut.

Akaun Google

Akaun Google anda, gaya anda

Pada halaman tetapan Akaun anda, anda boleh melihat perkhidmatan dan maklumat yang berkaitan dengan Akaun Google anda dan menukar tetapan keselamatan dan privasi anda.

Ketahui lebih lanjut

Akses tetapan dengan mengklik nama atau gambar anda di penjuru kanan, kemudian klik Akaun.

Akaun Google

Dapatkan makluman jika nama anda muncul di web

Saya di Web boleh membantu anda memahami dan mengurus bahan yang orang lihat apabila mereka mencari anda di Google. Ciri ini membantu anda menyediakan Google Alerts supaya anda boleh memantau jika maklumat tentang anda dipaparkan dalam talian dan secara automatik mencadangkan beberapa istilah carian yang anda mungkin ingin awasi.

Ketahui lebih lanjut

Log masuk ke Akaun Google dan navigasi ke bahagian “Saya di Web”.

Klik Urus Makluman Web saya dan kemudian klik butang merah untuk membuat makluman.

Nama anda akan dipaparkan dalam medan teks. Klik medan teks untuk melihat lagi makluman yang disyorkan.

Klik Tambah untuk menambahkan makluman. Klik ikon pensel untuk membuat suntingan dan ikon tong sampah untuk memadamkan.

Dalam menu lungsur “Berapa kerap”, pilih kekerapan makluman.

Akaun Google

Urus data yang disimpan dalam Akaun Google anda

Dashboard Google menunjukkan apa yang disimpan dalam Akaun Google anda dan memberikan gambaran keseluruhan kepada beberapa aktiviti akaun anda baru-baru ini. Dari satu lokasi pusat, anda boleh melihat data dan aktiviti anda dengan mudah dan mengakses tetapan anda untuk perkhidmatan seperti Blogger, Kalendar, Docs, Google+ dan banyak lagi.

Ketahui lebih lanjut

Lawati Dashboard untuk melihat ringkasan data yang dikaitkan dengan Akaun Google anda dan mengurus tetapan peribadi anda.

Dari sini, lihat dan urus data yang disimpan dalam Akaun Google anda.

Lihat lagi alat keselamatan