Elakkan penipuan

Tidak, anda mungkin tidak memenangi loteri. Pendapatan anda tidak mungkin begitu banyak dengan bekerja dari rumah. Tawaran tersebut juga mungkin terlalu bagus untuk dipercayai.

Web boleh menjadi tempat yang hebat, tetapi bukan semua orang dalam talian mempunyai niat yang baik. Berikut terdapat tiga cara mudah untuk mengelakkan penipuan dan kekal selamat di web:

Berhati-hati dengan orang tidak dikenali yang menawarkan hadiah

Suatu mesej mungkin tidak berniat baik jika ia mengucapkan tahniah kepada anda kerana menjadi pengunjung tapak web yang kesejuta, menawarkan sebuah komputer tablet atau hadiah lain sebagai pertukaran untuk melengkapkan kaji selidik atau mempromosikan cara yang cepat dan mudah untuk mendapatkan wang atau mendapatkan pekerjaan ("cepat menjadi kaya dengan bekerja dari rumah anda selama hanya dua jam sehari!"). Jika seseorang memberitahu anda yang anda seorang pemenang dan meminta anda mengisi maklumat peribadi anda ke dalam borang, jangan terdorong untuk mula mengisinya. Walaupun anda tidak menekan butang "serah", anda mungkin tetap menghantar maklumat anda kepada penipu jika anda mula mengisi data anda dalam borang mereka.

Jika anda melihat mesej daripada seseorang yang anda kenali tetapi tidak kelihatan seperti mereka, akaun mereka mungkin telah terjejas oleh penjenayah siber yang cuba untuk mendapatkan wang atau maklumat daripada anda – jadi, berhati-hatilah dengan cara anda membalas. Antara muslihat yang biasa dilakukan ialah meminta anda menghantar wang dengan segera kepada mereka, mendakwa terkandas di negara lain atau mengatakan bahawa telefon mereka telah dicuri supaya mereka tidak boleh dihubungi. Mesej itu mungkin turut menyuruh anda supaya klik pada pautan untuk melihat gambar, artikel atau video, yang sebenarnya membawa anda ke tapak yang mungkin mencuri maklumat anda – jadi, fikir dahulu sebelum anda klik!

Lakukan penyelidikan anda

Apabila membeli-belah dalam talian, siasat penjual dan berhati-hati dengan harga rendah yang mencurigakan sama seperti jika anda membeli sesuatu di kedai tempatan. Teliti tawaran dalam talian yang kelihatan terlalu bagus untuk dipercayai. Tiada siapa yang mahu ditipu agar membeli barangan palsu. Orang yang menjanjikan produk atau perkhidmatan yang biasanya mahal dan tiada diskaun, secara percuma atau dengan diskaun 90%, mungkin mempunyai niat jahat. Jika anda menggunakan Gmail, anda mungkin melihat amaran pada bahagian atas skrin anda jika anda sedang melihat e-mel yang sistem kami anggap mungkin satu penipuan – jika anda melihat amaran ini, fikir dua kali sebelum membalas e-mel tersebut.

Berhati-hati terhadap penipuan yang menggunakan jenama Google. Google tidak menjalankan loteri. Kami tidak mengenakan bayaran latihan untuk pekerja baharu – jika anda menerima e-mel yang mengatakan anda telah diambil bekerja dengan Google tetapi perlu membayar yuran latihan sebelum anda boleh bermula, ini ialah satu penipuan. Berhati-hati terhadap orang yang mendakwa menjual kereta menggunakan Google Wallet. Ketahui lebih lanjut mengenai pelbagai penipuan yang menggunakan jenama Google.

Apabila ragu-ragu, berhati-hatilah

Adakah anda merasakan sesuatu yang tidak betul mengenai iklan atau tawaran? Percaya pada gerak hati anda! Hanya klik pada iklan atau beli produk dari tapak yang selamat, telah disemak dan dipercayai.

Banyak wadah beli-belah dalam talian mempunyai atur cara saudagar/penjual yang dipercayai. Penjual ini biasanya mempunyai cap kelulusan yang boleh dilihat pada profil mereka. Pastikan cap atau sijil tersebut sah dengan menyemak garis panduan wadah beli-belah. Jika wadah ini tidak menawarkan atur cara yang serupa, lihat jumlah ulasan dan ulasan kualiti terhadap penjual tersebut.

Jika anda mengklik atau melihat iklan yang tidak elok di Google, sila beritahu kami supaya kami boleh mengambil tindakan.