Cara kami membantu anda memerangi pencurian identiti

Google menggunakan pelbagai teknologi untuk membantu melindungi anda daripada pencurian identiti dalam talian dan memastikan Akaun Google anda kekal selamat dan terjamin.

Pengesahan 2 langkah

Untuk membawa tahap perlindungan yang lebih tinggi kepada Akaun Google anda, kami menawarkan pengesahan 2 langkah kepada pengguna kami. Alat ini menyediakan lapisan keselamatan tambahan dengan meminta bukan hanya kata laluan, tetapi juga kod pengesahan untuk log masuk ke Akaun Google. Walaupun kata laluan anda dipecahkan, diteka atau dicuri, penyerang tidak boleh log masuk ke akaun anda tanpa memasukkan kod pengesahan yang kami akan hantar ke telefon bimbit anda. Kami menawarkan pengesahan 2 langkah dalam lebih 50 bahasa dan di 175 buah negara. Ketahui lebih lanjut tentang cara anda boleh menyediakan pengesahan 2 langkah.

Penyulitan

Google mengambil pelbagai langkah untuk memastikan maklumat peribadi anda selamat daripada penyerang dan pengintip. Secara lalai, kami menyulitkan sambungan Gmail antara komputer anda dan Google – langkah ini membantu melindungi aktiviti Google anda daripada diintip oleh orang lain. Kami turut menjadikan perlindungan ini, yang dikenali sebagai penyulitan SSL seluruh sesi, sebagai lalai apabila anda log masuk ke Google Drive dan pelbagai perkhidmatan yang lain.

Amaran aktiviti akaun yang mencurigakan

Kami telah memaklumkan beberapa pengguna apabila kelihatan seperti sesuatu yang luar biasa telah berlaku pada Akaun Google mereka – contohnya, log masuk yang kelihatan seperti berasal dari sebuah negara dan berlaku sejurus selepas log masuk dari negara lain. Pengguna ini telah ditunjukkan mesej amaran dalam peti masuk Gmail mereka mengenai akses luar biasa ini. Kadangkala kami turut meminta pengguna menukar kata laluan mereka jika kami mempunyai sebab untuk mempercayai yang akaun mereka telah terjejas.

Pengesahan e-mel

Untuk membantu menentang penyalahgunaan dan menghalang spam daripada memasuki peti masuk anda, Gmail menggunakan pengesahan e-mel untuk memastikan jika mesej benar-benar berasal dari alamat tempat ia kelihatan dihantar. Semua pengguna aktif Gmail – dan orang yang berhubung dengan mereka – secara automatik akan menerima perlindungan daripada ancaman kepada maklumat peribadi dan kewangan mereka.

Perlindungan spam

Gmail melindungi anda daripada spam dan e-mel berbahaya. Gmail memproses berbilion mesej setiap hari dan mempunyai rekod yang cemerlang berkaitan dengan melindungi pengguna daripada spam – kurang 1% daripada semua spam dalam Gmail akan sampai ke peti masuk seseorang. Apabila penghantar spam menghantar mel sampah jenis baharu, sistem kami sering mengenal pasti dan menyekatnya daripada memasuki akaun Google dalam beberapa minit. Tindakan ini mengurangkan kemungkinan mesej spam yang mungkin menjejaskan komputer anda atau cuba mencuri maklumat peribadi anda boleh berbuat demikian.