Pastikan peranti anda sentiasa bersih

Jika anda diubah hala oleh Google atau melihat iklan timbul, bar alat yang tidak diingini atau hasil carian Google yang pelik, komputer anda mungkin mempunyai perisian hasad. Perisian hasad ialah perisian yang direka untuk merosakkan atau mengambil alih kawalan komputer anda.

Tanda-tanda komputer anda mungkin mempunyai perisian hasad

Jika terdapat perisian hasad pada komputer anda, anda mungkin melihat tanda-tanda berikut:

  • Iklan timbul
  • Bar alat yang tidak diingini
  • Hasil carian atau iklan Google yang tidak sesuai
  • Diubah hala daripada halaman yang ingin dilawati, seperti halaman utama atau tapak Google anda
  • Melihat enjin carian yang kelihatan seperti Google tetapi logo atau URLnya tidak biasa anda lihat
  • Mendapat hasil daripada enjin carian yang salah

Alih keluar perisian hasad daripada komputer atau penyemak imbas anda

  1. Semak komputer anda untuk mencari atur cara yang tidak dicam dan nyahpasangnya.

Beberapa contoh atur cara yang perlu dinyahpasang:

  • BrowserProtect
  • Desk 365
  • Dosearches Browser Protector
  • DProtect
  • eSave Security Control
  • Extended Protection
  • Nation Zoom browser protection
  • New Tabs Uninstall
  • Omiga plus
  • Wysys Control

2. Jika anda menggunakan Chrome atau Firefox, gunakan ciri tetapkan semula penyemak imbas untuk membuat asal perubahan yang anda lihat dan mengembalikan tetapan anda kepada normal.

3. Jika anda menggunakan penyemak imbas yang lain, gunakan perisian antivirus untuk mengesan dan mengalih keluar perisian hasad daripada komputer anda.

4. Jika langkah di atas tidak menyelesaikan isu anda, buat catatan di Forum Carian Google mengenai isu anda itu. Dalam catatan anda, nyatakan langkah penyelesaian masalah yang telah diambil.

Halang komputer anda daripada mendapat perisian hasad pada masa akan datang

Petua 1: Pastikan penyemak imbas dan sistem pengendalian anda terkini.

Kebanyakan sistem pengendalian akan memberitahu anda apabila tiba masa untuk menaik taraf – jangan abaikan mesej ini. Perisian versi lama kadangkala mungkin mengalami masalah keselamatan yang boleh digunakan oleh penjenayah untuk mendapatkan data anda dengan mudah.

Penyemak imbas Google Chrome dikemaskinikan kepada versi terbaharu secara automatik setiap kali anda memulakannya, supaya anda boleh mendapatkan perlindungan keselamatan yang paling terkini tanpa sebarang kerja tambahan.

Petua 2: Perhatikan perkara yang anda klik dan muat turun.

Dengan tidak sengaja, anda mungkin mengklik pautan yang memasang perisian hasad pada komputer anda. Untuk memastikan komputer anda selamat, hanya klik pautan dan muat turun daripada tapak web yang anda percayai. Jangan buka sebarang jenis fail yang tidak diketahui atau memuat turun atur cara daripada tetingkap timbul yang muncul dalam penyemak imbas anda.

Selain itu, beri perhatian kepada butiran cetakan halus dan sebarang kotak pilihan yang ditandai secara automatik apabila memuat turun. Pastikan anda tahu atur cara yang sedang dipasang.