Sepuluh perkara yang kami pasti akan kesahihannya

Kali pertama kami menulis “10 perkara” ini, Google baru berusia beberapa tahun. Dari semasa ke semasa, kami menyemak semula untuk melihat sama ada perkara ini masih benar. Kami berharap senarai ini masih boleh diterima—dan anda boleh mempercayai kata-kata kami.

  1. Tumpukan pada pengguna dan perkara lain akan menyusul.

    Sejak dari mula, kami menumpukan pada penyediaan pengalaman pengguna yang sebaik mungkin. Sama ada kami mereka bentuk penyemak imbas Internet yang baharu atau mengubah suai penampilan laman utama, kami sentiasa berhati-hati dan memastikan perubahan ini akhirnya akan memanfaatkan anda, dan bukannya untuk memenuhi matlamat dalaman atau keuntungan kami sendiri semata-mata. Antara muka laman utama kami jelas lagi ringkas dan halamannya dapat dimuatkan serta-merta. Peletakan dalam hasil carian tidak pernah dijual kepada sesiapa dan pengiklanan bukan sahaja ditandakan dengan jelas, malah menawarkan kandungan yang berkaitan dan tidak mengganggu. Apabila kami membina alat dan aplikasi baharu, kami percaya kedua-duanya harus berfungsi dengan baik sekali supaya anda tidak perlu mempertimbangkan cara lain untuk mereka bentuknya.

  2. Memang bagus jika dapat melakukan sesuatu perkara dengan sebaik-baiknya.

    Kami menjalankan carian. Dengan salah satu kumpulan penyelidikan yang terbesar di dunia yang menumpukan pada penyelesaian masalah carian semata-mata, kami tahu perkara yang kami lakukan dengan baik dan cara kami boleh meningkatkannya. Melalui pelelaran berterusan pada masalah yang sukar, kami telah dapat menyelesaikan isu yang rumit dan menyediakan peningkatan yang berterusan bagi perkhidmatan yang telah pun menjadikan pencarian maklumat suatu pengalaman yang pantas dan tanpa sempadan untuk berjuta-juta orang. Dedikasi kami terhadap peningkatan carian membantu kami mengguna pakai perkara yang telah kami pelajari tentang produk baharu seperti Gmail dan Peta Google. Harapan kami adalah untuk membawa kuasa carian ke kawasan yang tidak pernah diterokai sebelum ini dan membantu orang ramai untuk mengakses dan menggunakan lebih banyak maklumat yang sentiasa berkembang dalam kehidupan mereka.

  3. Cepat lebih baik dari perlahan.

    Kami tahu bahawa masa itu berharga, oleh itu apabila anda mencari jawapan di web, anda mahukannya serta-merta–dan matlamat kami adalah untuk memuaskan hati anda. Kami mungkin satu-satunya syarikat di dunia yang boleh mengatakan matlamat kami ialah untuk orang ramai meninggalkan laman utama kami secepat yang mungkin. Dengan mengurangkan bit dan bait berlebihan dari halaman kami dan meningkatkan kecekapan persekitaran perkhidmatan kami, kami telah melepasi rekod kelajuan kami sendiri beberapa kali supaya masa balasan purata untuk hasil carian adalah dalam sekelip mata. Kami memikirkan tentang masa dengan setiap produk baharu yang kami keluarkan, sama ada ia aplikasi mudah alih atau Google Chrome, penyemak imbas yang direka cukup pantas untuk web moden. Dan kami terus berusaha menjadikannya lebih pantas lagi.

  4. Demokrasi di web berjaya.

    Carian Google berjaya kerana ia bergantung kepada berjuta-juta individu yang menyiarkan pautan di tapak web untuk membantu menentukan tapak web mana yang menawarkan kandungan yang bernilai. Kami menilai kepentingan setiap tapak web menggunakan lebih daripada 200 isyarat dan pelbagai teknik, termasuk algoritma PageRank™ kami yang telah dipatenkan, yang menganalisis tapak mana yang telah "diundi" untuk menjadi sumber terbaik maklumat oleh halaman-halaman lain di seluruh web. Apabila web menjadi semakin besar, pendekatan ini menjadi bertambah baik. Ini kerana setiap tapak baharu merupakan satu lagi titik maklumat dan satu lagi undian untuk dikira. Dalam erti kata lain, kami aktif dalam pembangunan perisian sumber terbuka, di mana inovasi terhasil melalui usaha terkumpul daripada ramai pengatur cara.

  5. Anda tidak perlu berada di meja anda untuk memerlukan jawapan.

    Dunia kini semakin mudah alih: orang ingin mempunyai akses kepada maklumat di mana-mana dan pada bila-bila masa mereka memerlukannya. Kami merintis teknologi baharu dan menawarkan penyelesaian baharu bagi perkhidmatan mudah alih yang membantu orang ramai di seluruh dunia melakukan beberapa tugas pada telefon mereka, daripada menyemak e-mel dan peristiwa kalendar hinggalah kepada menonton video, itu belum lagi sebut tentang beberapa cara yang berlainan untuk mengakses carian Google di telefon. Selain itu, kami berharap untuk merangsang penghasilan inovasi yang lebih hebat untuk pengguna telefon bimbit di mana jua dengan Android, platform mudah alih sumber terbuka yang percuma. Android membawakan keterbukaan yang membentuk Internet kepada dunia mudah alih. Bukan sahaja Android memberi faedah kepada pengguna, yang mempunyai lebih banyak pilihan dan pengalaman mudah alih baharu yang inovatif, tetapi ia membuka banyak peluang pendapatan kepada pembawa, pengilang dan pembangun.

  6. Anda boleh menjana pendapatan tanpa melakukan perkara jahat.

    Google ialah perniagaan. Pendapatan yang kami hasilkan dijana daripada penawaran teknologi carian kepada syarikat dan daripada penjualan iklan yang dipaparkan di tapak web kami dan di tapak web lain di seluruh web. Beratus-ratus ribu pengiklan di seluruh dunia menggunakan AdWords bagi mempromosikan produk mereka; ratusan ribu penerbit memanfaatkan program AdSense kami bagi menyampaikan iklan yang berkaitan dengan kandungan tapak mereka. Untuk memastikan kami melayani semua pengguna kami (sama ada mereka pengiklan atau tidak), kami mempunyai satu set prinsip panduan untuk program dan amalan pengiklanan kami:

    • Kami tidak membenarkan iklan dipaparkan pada halaman hasil carian kami kecuali ia berkaitan dengan apa yang dipaparkan. Kami sesungguhnya percaya bahawa iklan boleh menyediakan maklumat yang berguna jika, dan hanya jika, maklumat itu berkaitan dengan apa yang anda ingin temui–oleh itu ada kemungkinan yang carian tertentu tidak langsung akan menghasilkan sebarang iklan.

    • Kami percaya bahawa pengiklanan boleh memberikan kesan tanpa perlu menjolok mata. Kami tidak menerima iklan pop timbul yang mengganggu keupayaan anda untuk melihat kandungan yang anda minta. Kami mendapati bahawa iklan teks yang berkaitan dengan orang yang membacanya, menarik kadar klik lalu yang lebih tinggi berbanding iklan yang muncul secara rambang. Mana-mana pengiklan, sama ada kecil atau besar, boleh mengambil kesempatan ke atas perantara yang amat disasarkan ini.

    • Iklan di Google sentiasa dikenal pasti dengan jelas sebagai "Pautan Ditaja", oleh itu ia tidak menjejaskan integriti hasil carian kami. Kami tidak pernah memanipulasi ranking bagi meletakkan rakan kongsi kami di kedudukan yang lebih tinggi dalam hasil carian dan tiada siapa yang boleh membeli PageRank yang lebih baik. Pengguna kami mempercayai objektiviti kami dan tiada keuntungan jangka pendek yang dapat mewajarkan tindakan yang menghancurkan kepercayaan itu.

  7. Akan sentiasa ada lebih banyak maklumat di luar sana.

    Apabila kami sudah mengindekskan lebih banyak halaman HTML di Internet berbanding mana-mana perkhidmatan carian lain, jurutera kami mengalihkan perhatian mereka kepada maklumat yang tidak begitu mudah untuk diakses. Kadangkala ia sekadar menyepadukan pangkalan data baharu ke dalam carian, seperti menambahkan gelintaran nombor telefon dan alamat serta direktori perniagaan. Usaha lain memerlukan sedikit kreativiti, seperti menambah kemampuan untuk mencari arkib berita, paten, jurnal akademik, berbilion imej dan berjuta-juta buku. Penyelidik kami juga mencari cara baharu secara berterusan untuk membawa semua maklumat di dunia kepada orang yang mencari jawapan.

  8. Keperluan mendapatkan maklumat merentasi semua sempadan.

    Syarikat kami diasaskan di California, tetapi misi kami untuk memudahkan akses kepada maklumat adalah untuk seluruh dunia dan dalam setiap bahasa. Oleh sebab itu, kami mempunyai pejabat di lebih daripada 60 negara, menyelenggarakan lebih daripada 180 domain Internet dan menyediakan lebih daripada separuh hasil carian kami kepada orang ramai yang tinggal di luar Amerika Syarikat. Kami menawarkan antara muka carian Google dalam lebih 130 bahasa, menawarkan keupayaan untuk membataskan hasil kepada kandungan yang ditulis dalam bahasa pengguna sahaja dan berusaha untuk memberikan aplikasi dan produk kami yang selebihnya dalam seberapa banyak bahasa dan format boleh akses yang mungkin. Menggunakan alat terjemahan kami, orang ramai boleh mendapatkan kandungan yang ditulis di dunia sebelah sana dalam bahasa yang mereka tidak tuturkan. Dengan alat ini dan bantuan daripada penterjemah sukarela, kami telah pun dapat mempertingkatkan dengan ketara kepelbagaian dan mutu perkhidmatan yang kami boleh tawarkan walaupun di pelosok paling terpencil di dunia.

  9. Anda boleh menjadi serius tanpa memakai sut.

    Pengasas kami membangunkan Google di sekitar idea yang kerja seharusnya mencabar dan cabaran pula seharusnya seronok. Kami percaya bahawa perkara kreatif yang hebat kemungkinan besar akan berlaku dengan budaya syarikat yang betul–dan itu bukan sahaja bermakna lampu lava dan bola getah. Terdapat penekanan terhadap pencapaian pasukan dan kebanggaan dalam pelaksanaan yang menyumbang kepada kejayaan keseluruhan kami. Kami menaruh sepenuh kepercayaan pada kakitangan kami–golongan bertenaga yang bersemangat dai latar belakang yang berbeza dengan pendekatan yang kreatif untuk bekerja, bermain dan hidup. Persekitaran kami mungkin santai, tetapi sementara idea baharu muncul semasa beratur di kafe, semasa mesyuarat pasukan atau di gim, ia saling ditukarkan, diuji dan dilaksanakan dengan amat pantas–dan ia mungkin tapak pelancaran untuk projek baharu yang dipersiapkan untuk kegunaan di seluruh dunia.

  10. Hebat sahaja belum mencukupi.

    Kami melihat berjaya dalam sesuatu itu sebagai titik permulaan, bukan titik penamat. Kami menetapkan matlamat untuk diri sendiri. Matlamat yang kami tahu kami belum mampu untuk mencapainya. Ini kerana kami tahu bahawa dengan berusaha lebih daripada biasa bagi mencapai matlamat itu, kami akan dapat mencapai lebih daripada yang dijangkakan. Melalui inovasi dan lelaran, kami berhasrat untuk mengambil apa yang menguntungkan dan menambahbaikinya dalam cara yang tidak diduga. Sebagai contoh, apabila salah seorang jurutera kami melihat carian berfungsi dengan baik untuk perkataan yang dieja dengan betul, beliau tertanya-tanya tentang bagaimana ia mengendalikan kesilapan ejaan. Itu telah membawa beliau untuk mencipta penyemak ejaan yang intuitif dan lebih membantu.

    Walaupun anda tidak tahu apa sebenarnya yang anda cari, mencari jawapan di web kami adalah masalah kami, bukan masalah anda. Kami cuba meramal keperluan yang belum diperjelaskan oleh khalayak global kami dan memenuhi keperluan itu dengan produk dan perkhidmatan yang menetapkan piawaian baharu. Apabila kami melancarkan Gmail, ia mempunyai ruang storan yang lebih besar daripada mana-mana perkhidmatan e-mel yang tersedia. Apabila ditinjau kembali penawaran yang nampaknya jelas–tetapi itu disebabkan kerana sekarang kami mempunyai piawaian baharu untuk storan e-mel. Begitulah jenis perubahan yang kami ingin lakukan dan kami sentiasa mencari ruang baharu di mana kami boleh membuat kelainan. Akhirnya, rasa tidak puas hati kami yang berterusan dengan cara yang ada sekarang menjadi tenaga yang mendorong kami melakukan semua ini.

Privasi

Dasar Privasi, alat kami dan banyak lagi mengenai menguruskan maklumat anda di Google.

Lagi

Keselamatan

Pendekatan kami terhadap keselamatan dan cara melaporkan isu keselamatan.

Lagi

Prinsip perisian

Pendirian kami terhadap perisian Internet yang mengelirukan.

Lagi

Dasar perisian tidak diingini

Kriteria kami untuk perisian mesra pengguna di web.

Lagi

Rantaian bekalan

Komitmen kami terhadap pembuatan bertanggungjawab.

Lagi